Powered by Blogger.

Sunday 24 March 2013

Teori Perkembangan Sosial Erik Erikson



PENGENALAN

Eric Homburger Ericson merupakan nama sebenar beliau. Beliau dilahirkan pada 15 Jun 1902 di Frankfurt, Germany dan meninggal dunia pada 12 Mei 1994. Erik Erikson merupakan seorang tokoh psikologi yang membentuk satu teori yang komprehensif tentang perkembangan manusia berdasarkan jangka masa kehidupan mereka. Beliau membentuk teori berdasarkan kepada pengalaman kehidupannya sendiri. Teori beliau digelar psikososial kerana beliau menggabungkan tiga faktor yang mempengaruhi perkembangan individu faktor kendiri, emosi dan faktor sosial. 

Berdasarkan Teori Perkembangan Erik Erikson, manusia berpotensi mengalami perkembangan psikologi yang sihat dan mampu mengatasi kesulitan mengikut masa dan pringkat perkembangan tertentu. Terdapat lapan peringkat perkembangan emosi manusia yang dikaji oleh Erik Erikson. Setiap peringkat akan timbul tingkah laku positif dan negatif yang membawa masalah penyelesaian psikologikal kerana konflik emosinya. 


PRINSIP-PRINSIP TEORI ERIKSON
  1. Manusia mempunyai keperluan asas yang sama. 
  2. Perkembangan individu bergantung kepada tindak balas terhadap keperluan-keperluan asas.  
  3. Perkembangan manusia mengikut tahap-tahap yang tertentu.  
  4. Setiap tahap mempunyai konflik dan konflik ini mesti diatasi sebelum individu dapat berfungsi dengan jayanya pada tahap yang berikutnya.  
  5. Kegagalan mengatasi konflik pada suatu tahap akan menjejaskan perkembangan tahap yang berikutnya.
  
PERINGKAT PERKEMBANGAN EMOSI TEORI ERIKSON
 
Tahap 1 : Kepercayaan lawan ketidakpercayaan (0 -18 bulan)
  • Mempengaruhi perkembangan bayi melalui pengalaman.
  • Belajar untuk mempercayai atau tidak mempercayai orang lain.
  • Mempengaruhi sikapnya terhadap hidup dan interaksinya dengan orang lain.
  • Kepercayaan akan memudahkan individu menghadapi serta mengatasi masalah dalam hidup.
  • Bayi mula membentuk perasaan percaya lawan tidak percaya. Perasaan percaya pada persekitaran dan orang lain akan wujud sekiranya bayi tersebut mendapat penjagaan yang baik dari penjaganya; terutama daripada ibu. Sebaliknya, jika bayi tersebut tidak mendapat penjagaan yang sempurna maka akan timbul perasaaan tidak percaya pada tahap ini. Cara penjagaan bayi akan mempengaruhi emosi dan perasaan percaya dalam diri bayi tersebut.

Tahap 2 : Autonomi lawan malu/kekeliruan (18 bulan-3 tahun) 
  • Konsep diri mula bertambah nyata.
  • Mula tahu apa yang dicakap dan dibuat merupakan tindakannya bukan orang lain.
  • Keinginan untuk bertindak bebas (autonomi) meningkat.
  • Lebih gemar membuat sesuatu tanpa bergantung kepada orang lain.
  • Mungkin berpendapat cekap dan berkebolehan.
  • Rasa diri kurang cekap – malu dan mula meragui kebolehan diri.
  • Tingkah laku yang sentiasa diterima dan dipuji – lebih yakin. 
  • Sentiasa didenda/dimarah – malu dan ragu-ragu. 
  • Cara terbaik, tingkah laku yang tidak diingini dikawal dan yang diingini dipuji – dapat mengenal jenis-jenis tingkah laku yang digalakkan dan yang hendak dielakkan.
  • Kecenderungan untuk berfungsi secara bebas hendaklah diterima atau didorong.
  • Pada tahap ini kanak-kanak sudah mula berkeinginan melakukan sesuatu perbuatan sendiri. Mereka mula berdikari dan tidak suka dibantu atau dikongkong orang dewasa. Situasi ini merupakan permulaan kepada pembentukan perasaan keyakinan diri pada kanak-kanak tersebut. Dorongan dan galakkan ibu bapa akan membantu kanak-kanak membina perkembangan dan menyelesaikan sesuatu tugasan. 

Tahap 3 : Inisiatif lawan bersalah (3-6 tahun) 
  • Ingin meneroka dan mencuba sesuatu yang baru dan mencabar – inisiatif.
  • Dapat belajar dan bergerak dengan cepat.
  • Lebih peka kepada perkara betul dan salah.
  • Berasa malu apabila diketawakan dan seterusnya membina sikap positif.
  • Galakan akan menyedarkan kanak-kanak tentang potensi diri.
  • Sering dikawal dari mencuba – akan berasa kurang inisiatif.
  • Pada tahap ini kanak-kanak mula berinteraksi dengan persekitaran. Banyak inisiatif dilaksanakan bagi memenuhi naluri ingin tahu yang tinggi. Mereka akan cuba melakukan kerja-kerja yang dibuat oleh orang dewasa. Perkembangan ketika ini tidak boleh disalah asuh kerana akan menyebabkan kanak-kanak hilang inisiatif, suka menyendiri dan akan menimbulkan masalah apabila memasuki alam persekolahan. 

Tahap 4 : Ketekunan lawan rasa rendah diri (6-12 tahun)
 
Kanak-kanak mesti menghadapi pembelajaran kemahiran baru atau sebaliknya menghadapi risiko perasaan rendah diri, kegagalan dan tidak cekap.

Tahap 5 : Identiti lawan kekeliruan identiti (12-18 tahun) 

Remaja mesti berjaya mencari identiti dalam pekerjaan, peranan jantina, politik dan agama, jika tidak perasaan rendah diri akan timbul.  

Tahap 6 : Kerapatan lawan pengasingan (18-35 tahun)

Dewasa akan membina hubungan rapat atau sebaliknya merasa terasing jika tidak mahir membina hubungan.  

Tahap 7: Generativiti lawan pemusatan kendiri "stagnasi" (35-60 tahun) 

Setiap dewasa mencari jalan untuk memuaskan hati dan menyokong generasi akan datang atau sebaliknya hanya memusatkan kepada perkembangan /aktiviti diri. 

Tahap 8 : Kesepaduan lawan putus asa (60 tahun–akhir hayat) 

Kemuncak perkembangan di mana perasaan diterima dengan perasaan kepuasan atau merasa tidak diterima dan putus asa dengan kehidupannya.

0 comments on "Teori Perkembangan Sosial Erik Erikson"

Post a Comment

 

Wonder Kids ✎ Copyright 2008 All Rights Reserved Baby Blog Designed by Ipiet | All Image Presented by Tadpole's Notez